Blogger Template by Blogcrowds

PERTAMA Datang Lagi!!



Persidangan Tahunan Mahasiswa Sejordan(PERTAMA) merupakan sebuah persidangan tahunan MPPM yang dianjurkan oleh Biro Pembangunan Minda dan Akademik MPPMJ. Persidangan ini diadakan khusus kepada seluruh mahasiswa Malaysia Jordan yang dahagakan ilmu, input, dan sesuatu yang baru.

Kehidupan mahasiswa banyak dipengaruhi oleh masyarakat tempatan, suasana pembelajaran, dan sistem pembelajaran di Jordan. Pengaruh itu yang membentuk manusia. Keadaan ini begitu berbeza dengan keadaan di Malaysia. Keperluan masyarakat dan kehendak masyarakat itulah yang kita perlu tahu. Apatah lagi mereka memerlukan kita apabila kita pulang ke tanah air nanti.


Dakwah dan Realiti Mahasiswa Timur Tengah


Tema yang dipilih pada persidangan kali ini adalah Dakwah dan Realiti Mahasiswa Timur Tengah. Tema ini adalah rentetan kepada resolusi PERTAMA ke tiga iaitu Mempersonalitikan Diri Dengan Acuan Dan Paradigma Seorang Daie. Tema ini juga bersesuaian kepada seluruh mahasiswa Jordan yang terdiri daripada pelbagai jurusan iaitu Syariah, Bahasa Arab, Ekonomi Islam, Perubatan dan Pergigian.


PERTAMA kali ini akan disajikan dengan lima pembentangan kerja, satu forum dan perbahasan membentuk resolusi. Tajuk yang dipilih akan dimulakan dengan konsep Profesionalis dan Ustaz di dalam bidang dakwah. Peserta yang terdiri daripada 2 bidang yang besar ini akan difahamkan dengan kewajipan dakwah didalam setiap muslim tidak kira bidangnya.

Pembentangan diteruskan lagi dengan konsep dakwah di Malaysia yang amat berbeza dengan uruf di sini. Kemudian, kita akan diterangkan bagaimana realiti dakwah di Malaysia itu sendiri. Pembentangan akan diakhiri dengan masalah-masalah, fitnah-fitnah yang akan ditempuhi oleh pendakwah berketepatan dengan hadith-hadith fitan si pendakwah.Forum pula akan membincangkan realiti dan kelebihan-kelebihan mahasiswa timur tengah yang patut disedari oleh mahasiswa.


Kesemua kertas kerja dan forum akan dibentangkan oleh gandingan 2 orang Ustaz iaitu ustaz Hasrizal Abdul Jamil atau lebih dikenali dengan saifulislam dan ustaz Maszlee Malik. Kedua-dua ustaz ini adalah bekas pelajar universiti di Jordan dan begitu terkenal di kalangan mahasiswa.


PERTAMA untuk Mahasiswa


Program ini bukan dijalankan bagi memenuhi kalendar program MPPM, ataupun memenuhi kehendak sesetengah pihak. Program ini adalah untuk mahasiswa, ahli-ahli MPPM dan peserta-peserta. Kejayaan sesuatu program bukanlah terletak pada “gempaknya” sesuatu program, bukannya pada siapa yang berceramah, bukannya pada makanan yang akan disajikan, tetapi kejayaan sesuatu program adalah pada apa yang mahasiswa dapat dan kesan pada mahasiswa itu pada masa akan datang


Dengan ini, saya menyeru mahasiswa seluruh Jordan bagi menyertai seterusnya menjayakan persidangan ini. Segala cadangan dan komentar dari mahasiswa amat kami perlukan. Segala maklumat dan informasi akan diiklankan di BLOG PERTAMA ini.


Sekian terima kasih.


Oleh Mohd Syafiq bin Md Shafii

Pengarah Program PERTAMA kali ke 4

0 comments:

Newer Post Older Post Home