Blogger Template by Blogcrowds



  Dakwah Islamiah merupakan suatu usaha untuk membentuk pemikiran dan sikap manusia supaya berada di dalam satu acuan dan landasan yang ditentukan oleh Allah s.w.t . Di dalam meniti  arus modenisasi  kita melihat pelbagai cabaran yang dihadapi di dalam mereliasasikan usaha dakwah. Evolusi bangun dan jatuhnya tamadun islam seharusnya dijadikan panduan untuk menjana gelombang baru dalam gerakan dakwah yang hebat dan berkesan. Analisis yang jitu, kemas dan tepat atas kelemahan dan kekuatan membantu mengukuhkan struktur bangunan dakwah islamiah bagi melahirkan khairu ummah.
Apa itu Dakwah?
Dakwah dari sudut bahasa membawa makna seruan dan ajakan. Pengertian istilah dakwah banyak sekali, di antaranya menurut Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah adalah mengajak seseorang agar beriman kepada Allah dan apa yang dibawa oleh Rasul-Nya dengan membenarkan apa yang diberitakan dan mengikuti apa yang diperintahkan.
Dakwah merupakan jalan para rasul dan para pengikutnya. Rasulullah diutuskan untuk berdakwah kepada tauhid iaitu mengesakan Allah dan menyeru manusia kepada akhlak yang mulia.
Demikianlah dakwah merupakan jalan hidup Rasulullah dan pengikutnya, sebagaimana firman Allah:
قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُوا إِلَى اللهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاوَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللهِ وَمَآأَنَا مِنَ الْمُشْرِكِي
Katakanlah:”Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”. (Surat Yusuf:108)

Kesedaran Dalam Dakwah
Dakwah dan amar ma’ruf merupakan prasyarat untuk membentuk khairu ummah. Seandainya umat tidak mahu melaksanakan dakwah, maka kerugian yang besar dan umat islam akan mengalami kemunduran dari pelbagai aspek dan bidang di dalam kehidupan.


Mulianya umat dengan DAKWAH dan kerugian disebabkan meninggalkan dakwah. Allah berfirman:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ  (110)
“Kamu semua adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia menyuruh kepada yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.”(Ali Imran: 110).
Dakwah merupakan pekerjaan terbaik, hal itu sesuai dengan firman Allah:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (33)
“Siapakah yang lebih baik perkataannya dari pada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal shalih dan berkata sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Fussilat: 33).
Adapun orang yang berdakwah semata  mengharapkan redha Allah dalam dakwahnya, maka Allah akan memberikan padanya balasan yang setimpal. Hal itu sesuai dengan sabda Rasulullah SAW :
لِأَنْ يَهْدِيَكَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُوْنَ لَكَ مِنْ حُمُرِ النَّعَمِ. (رواه مسلم).
“Sungguh jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang melalui engkau (dakwah engkau) maka itu lebih baik bagimu daripada engkau memiliki unta merah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Tanggungjawab Dakwah
Kita telah melihat bagaimana kepentingan dakwah di dalam melahirkan khairu ummah (umat yang terbaik). Pendakwah itu adalah kita, di dalam diri umat islam itu sendiri kita sebenarnya punyai tanggungjawab di dalam merealisasikan dakwah. Dan kitalah golongan yang beruntung itu sekirannya kita sama-sama memikul amanah dakwah itu.

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (104)
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; mereka adalah orang-orang yang beruntung. (surat Al-Imran:104).



Sabda Rasulullah SAW,
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ، رواه مسلم
“Barang siapa yang melihat satu kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan lisannya dan jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan itu selemah-lemahnya iman” (Riwayat Muslim).
Di dalam menyebarkan dakwah itu kita memerlukan penampilan pendakwah yang fleksibel. Memiliki persiapan dan kelengkapan yang secukupnya dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan keilmuan yang hendak disampaikan , keadaan kekuatan dan dirinya, keikhlasan dan tahap kesabaran yang tinggi. Seterusnya ketekunan dalam mempelajari dan mendalami al-Quran dan as-Sunnah di samping mempelajari ilmu pengetahuan semasa serta pengusaan dalam bidang sains dan teknologi.
Hakikatnya dakwah ila Allah merupakan tanggungjawab dan juga merupakan kewajipan yang disyariatkan dan menjadi tanggungjawab yang harus dipikul oleh kaum muslimin keseluruhannya. Ini bermakna setiap muslim itu dituntut untuk berdakwah sesuai dengan kemampuan dan peluang yang dimilikinya. Oleh yang demikian, seharusnya semangat berdakwah harus ada di dalam diri kita untuk menyebarkan Islam ke mana dan di mana sahaja kita berada. Oleh itu dakwah tidak terbatas kepada golongan yang hanya mempelajari agama.

Maghribi dan Sasaran Amanah Dakwah
Majoritinya pelajar yang menuntut di bumi Maghribi adalah terdiri daripada pelajar jurusan pengajian islam dan pengajian bahasa arab.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pelajar yang menuntut ilmu shariah nampak begitu jelas peranannya di dalam memikul amanah dakwah islamiah.
Oleh itu, kesempatan emas untuk mengutip mutiara ilmu di bumi jejak ilmuwan Islam usahlah dipersiakan. Penggalian khazanah ilmu perlulah diteruskan dan sifat tamak dalam mempelajari ilmu bukanlah suatu yang merugikan. Malah masa yang dimiliki pantas dimanfaatkan untuk untuk bertalaqi dengan ulama-ulama terkemuka. Maghribi juga  mempunyai ramai tokoh dan ulama ilmuan Islam yang berusaha untuk memartabatkan agama-Nya. Terkenal dengan  ilmuwan Islam yang hebat di dalam bidang seperi Maqasid Syariah dan Fikru Islami dan Hadis. Antaranya ulama terkenal  seperti Al-marhum Dr Farid Ansari dan Sheikh Muhammad Zouhal.
Namun, secara realitinya usaha dakwah bukan seratus peratus terletak  di bahu mereka yang berada di dalam jurusan dan bidang agama. Tanggungjawab kita sebagai seorang muslim untuk menyebarkan dinul Islam sebenarnya secara amnya dipikul oleh setiap muslim itu sendiri. Malah sekiranya mereka yang merupakan ahli bahasa, ahli sains, atau  pakar komputer, mereka juga punyai tanggungjwab dan amanah di dalam memikul dakwah Islamiah. Oleh itu dakwah tidak terbatas kepada golongan yang hanya mempelajari agama.
Mentaliti tanggungjawab dakwah bukan urusan setiap orang islam menjadikan urusan dakwah hanya dibiarkan hanya kepada sekumpulan orang sahaja. Kerjasama dan pertolongan sukar diberi oleh golongan yang beranggapan sedemikian walaupun golongan tersebut memiliki kepakaran, wang ringgit, kepimpinan dan sebagainya. Akibatnya dakwah jadi lesu dan tidak profesional.
Kelebihan yang besar  sebenarnya kepada mereka yang dapat melanjutkan pelajaran di negara arab walaupun mereka tidak mengambil jurusan agama. Jalan serta peluang mereka untuk mendalami agama di samping ilmu takhassus mereka sangat luas. Contohnya dapat menguasai bahasa arab dengan baik dan ini sangat membantu di dalam pemahaman Al-Quran dan membaca kitab-kitab agama. Mereka juga berpeluang untuk menghadiri majlis-majlis ilmu ataupun bertalaqi al-quran secara terus dengan ulama-ulama. Secara tidak langsung membantu mereka mendalami ilmu agama dengan lebih baik.
Kesimpulannya, dalam melahirkan khairu ummah wajib ke atas umat islam bersatu padu di dalam memikul amanah dan melaksanakan dakwah islamiah. Tiada jalan mudah untuk mengembalikan semula kegemilangan tamadun islam tanpa usaha dan kesedaran umat islam itu sendiri. Sikap mengasingkan diri dan menolak tanggungjawab terhadap orang lain itu hanya merugikan umat islam sendiri.

Wallahu a3lam…
(NAZIRA BINTI ALIS)
Timbalan Setiausaha Kehormat 2,
Persatuan Mahasiswa Malaysia Maghribi
Sesi Perkhidmatan 2009/2010.








0 comments:

Newer Post Older Post Home