Blogger Template by Blogcrowds

Dakwah di bumi Shamrock



Oleh : Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland (PPIMI)

Ireland berkongsi sejarah yang hampir sama dengan Malaysia kerana kedua-duanya pernah melalui zaman penjajahan British. Perjuangan rakyat Ireland membebaskan diri daripada British, sepertimana Malaysia, didorong oleh faktor agama, di mana rakyat Ireland memperjuangkan nasib agama Kristian Katholik yang telah ditindas.   Namun, bangsa kolonial telah menguburkan segala-galanya yang menjadi kebanggaan dan jati diri masyarakat Irish termasuklah bahasa Gaelic. Sejarah yang panjang telah mencorakkan negara Celtic ini dan kita semua melihat Ireland pada hari ini sebagai satu  kaleidoskop yang menarik, penuh keramahan, keterbukaan dan kebebasan, yang pastinya menggamit sesiapa sahaja yang ingin mencari erti kedamaian. Tidak hairanlah Ireland tersenarai di tempat ke-5 sebagai negara yang menjadi rebutan untuk warga dunia bermastautin.

Migrasi umat Islam ke Ireland terutama daripada negara Arab sudah masuk generasi ke-3. Islam terus berkembang subur di bumi Shamrock ini lebih-lebih lagi dengan Dublin menjadi  pusat Majlis Fatwa dan Kajian Eropah yang berpusat di Masjid Clonskeagh. Dalam tahun 60-an, Ireland menerima tempias semangat gerakan dakwah daripada negara jirannya United Kingdom, yang suatu ketika dahulu menjadi tempat bangkitnya kesedaran dakwah di kalangan mahasiswa Islam. Para mahasiswa termasuklah pelajar Malaysia yang dihantar oleh kerajaan untuk menuntut di kedua-dua negara ini telah membawa hasil tarbiyyah yang diterima sepanjang pergaulan mereka dengan muslim di sini untuk merancakkan lagi dakwah islamiah di tanah air. Persatuan-persatuan pelajar, gerakan tabligh, Islamic Student Society (ISOC) di universiti tumbuh seperti cendawan selepas hujan kerana pada era ini golongan muda-mudi mula berkesedaran ingin kembali berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar.

Bercerita tentang taburan pelajar, universiti-universiti di Ireland seperti RCSI, UCD, NUIG, UCC dan  TCD diiktiraf sebagai universiti terkemuka atau kilang pengeluaran graduan-graduan doktor Malaysia yang hebat dan berkaliber. Berbeza daripada United Kingdom, sebahagian besar pelajar tajaan kerajaan di Ireland mengambil jurusan perubatan. Hanya sebahagian kecil sahaja  pelajar  yang mengambil bidang perniagaan dan perakaunan.  Merujuk kepada kata-kata Dr. Yusof Al Qaradhawi,

“ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.

Oleh yang demikian, mahasiswa-mahasiswa perubatan ini merupakan pelaburan terbesar negara dan cerminan kepada masa depan Malaysia. Realiti gerakan dakwah di Ireland pada hari ini menunjukkan sinar harapan apabila, golongan pelajar perubatan adalah mereka yang terkehadapan memacu aktiviti bercorak dakwah di Ireland. Tidak rugi kiranya pelaburan yang dibuat oleh kerajaan dengan memberikan biasiswa jika modal insan yang dilahirkan adalah cemerlang dari sudut duniawi dan juga ukhrawi. Pelajar-pelajar Malaysia menjadi aktivis contoh di pentas dakwah apabila mereka menunjukkan budaya kerja yang professional, bersemangat, berintegriti dan penuh tata susila. Tidak keterlaluan jika dikatakan FOSIS dan ISOC digerakkan hampir seratus-peratus oleh pelajar-pelajar Malaysia. Kita bukan sahaja menjadi contoh budaya kerja kepada muslim dari negara yang lain tetapi dengan izin Allah menjadi asbab tersebarnya dakwah kepada masyarakat bukan Islam.

Trend dakwah di Ireland kini menumpukan kepada usaha memberi kefahaman  Islam kepada pelajar Islam Malaysia terlebih dahulu. Oleh itu banyak program dan aktiviti yang disusun khusus untuk pelajar muslim Malaysia sahaja. Aktiviti seperti usrah menjadi medan dakwah khusus bagi persatuan Islam sejak sekian lama. Persatuan mahasiswa seperti Persatuan Pelajar Islam Malaysia Islam Ireland(PPIMI) umpamanya  terus teguh sebagai sebuah persatuan Islam berkebajikan yang mendapat kepercayaan daripada warga Malaysia Dublin selama hampir 30 tahun.  Pelbagai program tarbiyyah telah dilaksanakan seperti halaqah mingguan, Hari Helwa, Perhimpunan Ukhuwwah Insaniah Seluruh Ireland  (PUISI), Malam Apresiasi Seni Asosiasi Islam (MASAI) dan sebagainya. PPIMI juga memelebarkan jaringan yang erat dengan persatuan pelajar lain samada di dalam atau di luar bumi Ireland ini. Bahkan, persatuan-persatuan pelajar Islam di seluruh UK dan Ireland membentuk sebuah jaringan  dakwah yang sangat sistematik di mana pelajar-pelajar berpeluang melancong di sekitar kedua-dua negara ini sambil menimba ilmu.

Di sebalik kerancakan gerakan dakwah ini, menjadi satu cabaran yang besar bagi persatuan-persatuan pelajar di sini membentuk sinergi yang berkesan, lebih-lebih lagi dengan kewujudan persatuan-persatuan yang terlalu banyak. Aktiviti-aktiviti berbeza dengan matlamat yang hampir sama menjajahi tarikh-tarikh kosong dalam taqwim tahunan pelajar. Bagus, kerana itulah caranya mengisi masa terluang dengan bermanfaat. Tetapi terlalu banyak aktiviti, sehingga hilang proriti bukanlah satu petanda yang baik terhadap hala tuju gerakan dakwah di Ireland. Lebih-lebih lagi, kebanyakan penggerak utama program-program dakwah ialah pelajar perubatan yang mempunyai komitmen belajar yang mendesak.

Peluang dakwah di Ireland boleh diumpamakan seperti free market, tetapi malangnya persatuan-persatuan pelajar kelihatan masih kurang matang dalam meluaskan pasaran dakwah masing-masing. Sejumlah besar persatuan menumpukan sasaran dakwah kepada golongan tertentu sahaja, malah kita melihat muka-muka yang sama sahaja menjadi penggerak mahupun peserta dalam program-program. Kesannya, banyak tenaga yang dibazirkan sedangkan hasilnya tidak seberapa. Banyak lagi kumpulan target di luar sana yang tidak mampu dicapai oleh persatuan-persatuan ini. Satu realiti pahit yang terpaksa kita telan ialah budaya hedonisme dan sikap “aku tak pedulisme” terus menular di kalangan golongan terpilih yang belajar di luar negara. Konsert, gig dan pergaulan bebas terus berleluasa. Mereka hanyut dengan aktviti yang tidak membuahkan ilmu, malah merupakan penghinaan terhadap tahap intelek mereka sendiri. Apa yang lebih menyedihkan, persatuan-persatuan Islam hanya dilihat sebagai kelab-kelab kecil yang tiada upaya menyampaikan risalah Islam dengan bahasa dakwah yang sesuai dengan pemikiran golongan intelek ini. Antara sebabnya, gerakan dakwah belum lagi menjadi satu gerakan arus perdana atau fenomena yang mampu menarik sesiapa sahaja menyertainya.

Menyusuri jalan dakwah di bumi Ireland ibarat meneruskan kerja-kerja terbengkalai yang ditinggalkan oleh orang terdahulu. Kitarannya cukup deras hingga memaksa aktivis-aktivis yang baru berjinak-jinak menggalas tugas dakwah ini perlu cepat beradaptasi dan membaca suasana. Jika, mereka masih lagi terikut-ikut dengan tradisi lama persatuan tanpa banyak soal, maka gerakan dakwah akan terus dipandang rendah oleh masyarakat. Tuntasnya, golongan mahasiswa yang berkesedaran perlu berpijak di bumi nyata. 5 atau 6 tahun berada di luar negara hanyalah tempoh transisi. Oleh itu, kita hendaklah berpandangan jauh dan setiap perancangan hendaklah berdasarkan situasi negara kita yang kita sama-sama akan mencurahkan khidmat bakti kita. Seiring dengan gagasan 1Malaysia, gerakan dakwah sepatutnya menuju ke arah kerangka kesatuan gerak kerja. Tumpuannya bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam. Dengan kefahaman yang kukuh dan organisasi yang teratur, insya-Allah akan merealisasikan firman Allah yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (al-Imran 3:104)

Afiq Izzudin A. Rahim
President of PPIMI 09-10
Medical Student of RCSI
afiqizzudin.wordpress.com



0 comments:

Newer Post Older Post Home